RAPUH REPUT


Ya, dahan yang rapuh reput jarang berguna. Sukar untuk monyet bergayut bermain buaian, tiada lagi angin sepoi-sepoi bahasa, tiada lagi bunyi monyet bersuka ria menyambut hari bahagia buat mereka, tiada lagi pergaduhan antara monyet dengan tupai yang tumpang lalu di dahan itu selama ini, tiada lagi tangisan anak-anak monyet di dahan itu yang selama ini menjadi tempat permainan mereka. Tiba-tiba sunyi, sepi, diam dan tiada bisikan.


Kita sering lupa atau mungkin sesekali abai dengan kehidupan kita selama ini. Kita tidak sedar atau mungkin kita sengaja leka dengan masa. Kita tidak dapat menjaga masa, kerana ia bukan hak kita namun kita mampu mengawal diri kita untuk mengejar masa yang berlalu dengan perkara yang berfaedah. Jangan menanti rapuh dan reput tulang kita, barulah hendak menyesal. Kehidupan kita yang selama ini rancak tiba-tiba sunyi, sepi, diam dan tiada bisikan.


Kehidupan kita ini boleh di ibaratkan sebagai satu organisasi. Ada pemimpin maka ada yang dipimpin. Nak jadi pemimpin hendaklah dikalangan yang terpimpin. Yang dipimpin hendaklah taati pemimpin yang mentaati perintah Allah agar selamat di sini dan di sana. Biar siapa pun kita, dari keturunan mana pun kita, jika kita adalah yang dipimpin maka hormatilah pemimpin yang menghormati prinsip-prinsip Islam. Selagi mana pemimpin masih menunaikan rukun Islam maka ia adalah pemimpin kita. Pemimpin yang alim, pemimpin yang ditaati. Pemimpin yang zalim, pemimpin yang dinasihati. Jangan tunggu rapuh reput organisasi, mulalah kita menyalahi antara satu sama lain, mulalah babak permusuhan macam monyet dan tupai, mulalah tangisan kesalan yang tidak berguna lagi. Organisasi yang dahulunya sibuk menjaga kebajikan rakyatnya tiba-tiba sunyi, sepi, diam dan tiada bisikan.


Kerana itulah, kita ini perlu menghargai setiap apa yang ada dihadapan kita. Jika ia baik, elok kekalkan atau tingkatkan kualitinya, jika ia buruk maka molek benarlah kita mencari jalan untuk memperbaikinya, tingkatkan mutu kualitinya, mana tahu mungkin ia berguna pada kita suatu hari nanti. Jangan menanti rapuh reput baru nak menghargainya. Kebahagian bukannya datang bergolek kalau tak usahakan. Kesenangan bukan mudah dikecapi kalau tidak berusaha kearahnya. Jika bahagia dan senang itu menghampiri rapuh reput maka carilah jalan penyelesaian yang terbaik untuk kuatkannya dan kembali baik seperti sedia kala. Jangan biar ia sunyi, sepi, diam dan tiada bisikan. Biarkan dan kekalkan ia rancak dan sibuk seperti asal.