MAULID NABI VS CINTA NABI

Artikel ini diambil dari penulisan asalnya oleh: Mohd Yaakub bin Mohd Yunus (http://akob73.blogspot.com)

Setiap tahun umat Islam menyambut meriah kehadiran 12 Rabiul Awal, iaitu tarikh yang dikaitkan dengan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Pelbagai upacara akan diatur sempena hari tersebut yang juga dikenali sebagai maulidul rasul seperti perarakan besar-besaran, upacara marhaban dengan membaca kitab berzanji, mengadakan jamuan-jamuan makan dan ceramah-ceramah agama.

Semuanya ini dilaksanakan demi untuk menggambarkan perasaan kasih dan sayang terhadap junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w.

Saban tahun 12 Rabiul Awal muncul, maka saban tahun juga polemik tentang sunnah atau bidaah nya menyambut maulidul rasul akan muncul. Pihak yang menentang sambutan maulidul rasul menyatakan ia adalah bidaah kerana ia tidak pernah dilaksanakan pada zaman Nabi s.a.w dan sahabatnya serta pada zaman para salafussoleh . Malah imam-imam mazhab yang empat seperti Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam Syafie dan Imam Ahmad r.h juga tidak pernah menganjurkan sambutan maulidul rasul ini.

Timbul persoalan adakah mereka semua ini tidak mencintai Nabi Muhammad s.a.w. sebagaimana generasi sesudah mereka yang menganjurkan sambutan maulidul rasul? Bagi pihak yang menyokong sambutan ini mereka beranggapan ia adalah bidaah yang baik (hasanah) dan hanya bertujuan untuk mengagungkan baginda s.a.w. dan mencerminkan kasih sayang kita kepada baginda. Apatah lagi tidak terdapat larangan yang khusus daripada ALLAH serta Rasul-NYA ke atas sambutan maulidul rasul ini.

Apa pun jua kita tidak ingin menyambung polemik ini yang akan sentiasa dibahaskan tanpa penghujungnya. Apa yang ingin kita bahaskan di sini adalah tentang tatacara untuk membuktikan kasih sayang kita serta pengagungan kita kepada Nabi Muhammad s.a.w.

Sebagaimana yang telah kita maklum bahawa golongan yang pertama kali mengadakan upacara sambutan maulidul rasul ini adalah Bani Ubaid al-Qadah dari kelompok Fatimiyyah yang memerintah Mesir bermula dari 362 sehingga 567 Hijrah. Mereka ini berfahaman syiah al-Rafidhah dan juga terpengaruh dengan aliran Qaramithah al-Bathiniyah iaitu kelompok yang terkeluar dari ahli sunnah wal jamaah.

Kerajaan Fathimiyah ini menganjurkan upacara peringatan maulidul rasul ini bukan atas dasar cinta mereka kepada Nabi Muhammad s.a.w. Tetapi, tujuan utama mereka adalah berunsur politik yakni untuk mencari pengaruh serta sokongan daripada rakyat demi menutupi kesesatan mereka.

Jika mereka inilah pelopor sambutan maulidul rasul, jadi bagaimanakah caranya para salafussoleh mempamerkan kecintaaan mereka kepada Rasulullah s.a.w? Tentu sekali kita telah fahami bahawa golongan yang paling mencintai Nabi Muhammad s.a.w. adalah para sahabatnya. Malah, generasi terbaik mencontohi baginda s.a.w adalah para sahabat, tabi’in dan tabi’ al-Tabi’in sebagaimana sabdanya:

"Sebaik-baik generasi ialah generasiku, kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’in) dan kemudian orang-orang yang sesudahnya (tabi’ al-Tabi’in)." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, kitab al-Manaqib, hadis no: 3650.

Telah terbukti mereka ini tidak pernah menyambut maulidul rasul. Jadi bagaimanakah pandangan mereka tentang hakikat sebenar mencintai Rasulullah s.a.w.. Oleh itu, melalui makalah ini penulis akan cuba mengungkap hakikat tersebut.

Kewajipan Mencintai Nabi s.a.w

Mencintai Nabi Muhammad s.a.w itu adalah satu prinsip agama yang sangat penting serta mendasar. Seseorang itu tidak dianggap beriman sehingga dia benar-benar mencintai Nabi Muhammad s.a.w melebihi dirinya sendiri, kaum kerabat dan harta-bendanya.

Firman ALLAH S.W.T:

"Katakanlah (wahai Muhammad): Jika bapa-bapa kamu, anak-anak kamu, saudara-saudara kamu, isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, kaum keluarga kamu, harta benda yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu bimbang akan merosot dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai (jika semua itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada ALLAH dan Rasul-NYA dan (dari) berjihad untuk agama-NYA, maka tunggulah sehingga ALLAH mendatangkan keputusan-NYA (azab seksa-NYA); kerana ALLAH tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)." – Surah al-Taubah (9) : 24.

Firman ALLAH S.W.T:

"Nabi itu (hendaklah) lebih diutamakan bagi orang-orang yang beriman berbanding diri mereka sendiri." – Surah al-Ahzab: 6.

Sabda Rasulllah s.a.w:

Maksudnya:

"Aku lebih utama bagi setiap mukmin berbanding dirinya sendiri." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, kitab al-Jamaah, hadis no: 6.

Sabda Rasulllah s.a.w:

Maksudnya:

"Tidaklah dianggap beriman di kalangan kamu semua sehingga aku lebih dicintainya daripada ibubapanya, anaknya dan manusia seluruhnya." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, kitab al-Imaan, hadis no: 15.

Masih terdapat banyak lagi dalil sedemikian rupa yang tidak lain menunjukkan kewajipan mencintai baginda s.a.w di mana ia merupakan antara ciri-ciri golongan beriman. Rasulullah s.a.w. berhak meraih cinta tersebut kerana baginda adalah makhluk yang paling mulia di sisi ALLAH, memiliki akhlak yang luhur dan jalan yang lurus, mengasihi umatnya, memberi petunjuk kepada umatnya, menyelamatkan umatnya dari neraka dan menjadi rahmat kepada seluruh alam. Mencintai Nabi Muhammad s.a.w merupakan kesan kesaksian kita bahawa Muhammad itu utusan ALLAH yang merupakan sebahagian dari kalimah syahadah.

Hakikat Mencintai Rasulullah

Orang yang benar-benar mencintai Rasulullah s.a.w memiliki ciri-ciri tertentu. Di sini penulis akan menampilkan beberapa tanda-tanda yang menggambarkan perasaan cinta kita kepada Rasulullah s.a.w:

1. Mentauhidkan ALLAH S.W.T.

Hikmah utama diutusnya para rasul termasuk Nabi Muhammad s.a.w adalah untuk menyeru manusia kembali kepada tauhid yang murni dan menentang syirik.

Firman ALLAH S.W.T:

"Dan sesungguhnya KAMI telah mengutus di kalangan tiap-tiap umat seorang rasul (agar menyeru mereka): Hendaklah kamu menyembah ALLAH dan jauhi Taghut." – Surah al-Nahl: 36.

Al-Hafiz Ibn Kathir r.h berkata:

"Semua para rasul mengajak beribadah kepada ALLAH dan melarang beribadah kepada selain-NYA. Malah, ALLAH sentiasa mengutus para rasul dengan tugas tersebut semenjak terjadinya kesyirikan yang dilakukan oleh kaum Nabi Nuh a.s. Dialah rasul pertama diutus oleh ALLAH kepada penghuni bumi hingga penutup para rasul, iaitu Muhammad s.a.w yang menyampaikan dakwahnya kepada bangsa jin dan manusia di timur dan barat. Keadaan mereka semua ini digambarkan sebagaimana firman ALLAH S.W.T:

"Dan KAMI tidak mengutus sebelummu (wahai Muhammad) seorang Rasul melainkan KAMI wahyukan kepadanya: Bahawa sesungguhnya tiada TUHAN (yang berhak disembah) melainkan AKU. Oleh itu, beribadahlah kamu kepada-KU." – Surah al-Anbiya': 25.

Maksud mentauhidkan ALLAH adalah beribadah hanya kepada ALLAH sahaja dan tidak menyekutukannya dengan sesuatu apa pun. Inilah pengertian sebenar kalimah tauhid, iaitu La Ilahaa Illaallah (Tiada TUHAN yang berhak disembah melainkan ALLAH) dengan memurnikan ibadah hanya kepada-NYA dan berlepas diri dari segala sesuatu selainnya. Inilah misi utama Nabi Muhhamad s.a.w terhadap umatnya.

Oleh itu, untuk membuktikan kasih sayang kita kepada Nabi Muhammad s.a.w, kita hendaklah menghindari amalan-amalan syirik seperti menyembah berhala, mengikhlaskan ibadah kita hanya kepada ALLAH, berdoa hanya kepada ALLAH tanpa perantaraan (wasilah) yang tidak di izinkan-NYA seperti bertawassul di kuburan para wali, mentaati hukum-hakam ALLAH serta berlepas diri daripada hukum buatan manusia yang tidak selari dengan syarak, tidak memakai tangkal, tidak bertilik nasib, tidak berjumpa bomoh, mengingkari nama-nama dan sifat-sifat ALLAH dan lain-lain lagi. Mentauhidkan ALLAH merupakan bukti paling kukuh menunjukkan kita mencintai Nabi Muhammad s.a.w.

2. Mentaati Sunnah Nabi s.a.w.

Di antara tanda-tanda yang jelas menggambarkan perasaan sayang kita kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah dengan mengerjakan sunnahnya, mengikuti perkataan dan perbuatannya, menjalankan perintahnya dan menghindari larangannya. Pada dasarnya semua perbuatan dan ucapan Nabi s.a.w wajib diikuti dan diteladani.

Firman ALLAH S.W.T:

Maksudnya:
"Sesungguhnya pada diri Rasulullah itu terdapat contoh ikutan yang baik bagi kamu, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredhaan) ALLAH dan (balasan baik) hari akhirat serta dia pula menyebut dan mengingati ALLAH banyak-banyak (dalam masa susah dan senang)." – Surah al-Ahzab: 21

Menurut al-Hafiz Ibn Kathir:

"Ayat ini merupakan dasar utama untuk mencontohi Rasulullah s.a.w baik dalam ucapan, perbuatan mahupun hal ehwal baginda.
Mentaati Rasulullah s.a.w juga adalah bukti yang menunjukkan kita mencintai ALLAH.

Firman ALLAH S.W.T:

"Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi ALLAH maka ikutilah aku, pasti ALLAH mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), ALLAH Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani." – Surah Ali Imran: 31

Mentaati sunnah Nabi juga bermaksud menghindari amalan bidaah. Bidaah seperti yang didefinisikan oleh Imam al-Syathibi r.h ialah:

"Jalan yang direka di dalam agama, yang menyerupai syariah dan tujuan mengamalnya untuk berlebihan dalam mengabdikan diri kepada ALLAH." - Rujuk Kitab Meluruskan Tafsir Bidaah karya Syeikh Alwi bin Abdul Qadir al-Saqqaf yang merupakan ringkasan kepada Kitab al-I’tishom karya Imam Abu Ishaq al-Syathibi (edisi terjemahan oleh Farid Qurusy, Pustaka As-Sunnah, Surabaya (2003), ms. 2.

Berdasarkan definisi ini dapat kita fahami bahawa medan operasi bidaah adalah dalam hal-hal yang bersangkutan dengan agama sahaja. Oleh itu apa jua bentuk rekaan terkini di dalam hal kehidupan duniawi maka ia tidak termasuk di dalam ruang lingkup perbahasan bidaah menurut definisi syarak.

Ini kerana, terdapat dalil-dalil yang menggalakkan umat Islam untuk terlibat di dalam usaha mencipta rekaan-rekaan terkini demi kemajuan umat Islam. Dalam hal ehwal duniawi, manusia memiliki kebebasan untuk melakukan inovasi termoden asalkan ia tidak mendatangkan keburukan kepada orang ramai serta tidak bertentangan dengan syariah.

Sabda Nabi s.a.w:
Maksudnya:
"Kamu lebih tahu hal ehwal dunia kamu." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, kitab al-Fadhail, hadis no: 2363.

Sabda Nabi s.a.w:
Maksudnya:

"Jika sesuatu urusan termasuk hal ehwal dunia kamu, kamu lebih tahu untuk menguruskannya dan jika sekiranya termasuk urusan agama kamu, kembalikanlah kepada aku." - Hadis riwayat Ibn Majah di dalam Sunan Ibn Majah, kitab al-Ahkam, hadis no: 2462.

Bidaah yang kita maksudkan di sini adalah mengada-adakan ritual-ritual agama baru yang tidak pernah diajar atau diamalkan oleh Rasulullah s.a.w. Seluruh bidaah yang bersangkutan dengan agama ini adalah sesat dan pengamalannya adalah sia-sia kerana ia tidak diterima oleh ALLAH.

Sabda Nabi s.a.w:

Maksudnya:

"Sesungguhnya sebaik-baik ucapan adalah Kitabullah (al-Quran), sebaik-baik petunjuk adalah petunjuk Muhammad (sunnah), seburuk-buruk perkara adalah yang diada-adakan (bidaah), setiap perkara yang diada-adakan termasuk kategori bidaah dan setiap perkara yang bidaah adalah sesat." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, Kitab al-Jama’ah, hadis no: 867.

Sabda Nabi s.a.w:

Maksudnya:
Barangsiapa yang mengada-adakan di dalam urusan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama) apa-apa yang tidak ada padanya, maka tertolaklah ia.” - Hadis riwayat Imam al-Bukhari, no: 2697

Maksudnya:
Barangsiapa yang melakukan satu amal yang bukan dari suruhan kami (iaitu di dalam perkara berkaitan agama), maka tertolaklah ia. - Hadis riwayat Imam Muslim, no: 1718

Oleh itu, memerangi amalan bidaah merupakan satu bukti yang menunjukkan kecintaan kita kepada sunnah Nabi s.a.w. Sebaliknya, mengamalkan amalan bidaah menggambarkan pengkhianatan kita kepada baginda. Imam Malik r.h berkata:

"Sesiapa yang mencipta bidaah dalam Islam dan menganggapnya baik (hasanah) maka dia telah mendakwa Muhammad s.a.w mengkhianati risalah. Ini kerana, ALLAH telah berfirman:

"Pada hari ini aku telah sempurnakan agama kamu." – Surah al-Maidah: 3.

Setiap perkara yang ada pada hari tersebut tidak termasuk urusan agama, maka ia juga tidak akan menjadi sebahagian dari agama pada hari ini." – Rujuk Kitab Meluruskan Tafsir Bidaah karya Alwi bin Abdul Qadir al-Saqqaf, ms. 14.

Oleh itu, berhati-hatilah dengan amalan-amalan bidaah walaupun ia nampak baik dan bertujuan mulia. Ingatlah pesan Abdullah bin Umar r.a:
Maksudnya:

“Setiap bidaah itu sesat, walaupun manusia memandangnya (perbuatan bi’dah tersebut) hasanah (baik).” – Atsar riwayat al-Lalaka-i di dalam Syarh Usul I’tiqad Ahl al-Sunnah wa al-Jamaah, Ibn Nashir di dalam al-Sunnah dan oleh Ibn Battoh di dalam al-Ibanah.

3. Menyebarkan Sunnah Nabi s.a.w.

Mencintai Nabi s.a.w bukan sekadar hanya taat kepada sunnah baginda. Malah, antara tanda kesempurnaan perasaan cinta kepada baginda adalah dengan menyebarkan sunnah-sunnah tersebut kepada seluruh umat manusia. Sabda baginda s.a.w:

Maksudnya:

"Hendaklah orang yang yang hadir (pada hari ini) menyampaikan (sunnahku) kepada yang tidak hadir." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, kitab al-Haj, hadis no: 1739.


Maksudnya:

"Kamu semua hendaklah sampaikan apa yang diambil daripadaku walau satu ayat." - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, kitab Ahadis al-Anbiya’, no: 3461.

Keinginan untuk menyebarkan sunnah Nabi s.a.w, menyampaikannya serta mengajarkannya adalah menyambung tugasan baginda. Sekiranya kerja-kerja dakwah baginda tidak ada kesinambungan pasti sunnahnya akan mati dan digantikan dengan amalan-amalan bidaah .

4. Sentiasa memuji dan mengingatinya.

Sekiranya kita mencintai Nabi Muhammad s.a.w, seharusnya baginda sentiasa berada di hati kita. Kita sepatutnya selalu mengingati pengorbanan yang telah baginda lakukan demi menyelamatkan umatnya dari kesesatan. Oleh itu, kita hendaklah memperbanyakkan membaca serta mempelajari sejarah hidup baginda serta berusaha untuk menjadikan perjalanan hidup baginda sebagai cahaya yang menyuluh perjalanan kita. Kita juga hendaklah hanya menyibukkan diri dengan sejarah baginda yang sahih dan menghindari cerita-cerita palsu dan lemah yang banyak tersebar dalam masyarakat.

Penulis juga menganjurkan para ulama mengkaji semula kandungan kitab marhaban atau berzanji yang sering dibacakan ketika majlis-majlis maulid kerana di dalamnya terdapat banyak kisah-kisah palsu serta riwayat yang daif (lemah) serta tidak mempunyai sandaran malah boleh membawa kepada kesyirikan dan khurafat. Bagi umat Islam di Malaysia, disaran agar mendapatkan kitab-kitab Sirah Nabi yang muktabar untuk dijadikan rujukan.

Kita juga sepatutnya memuji Nabi s.a.w dengan pujian yang selayak baginya. Pujian yang paling utama adalah dengan berselawat kepadanya.

Firman ALLAH S.W.T:

"Sesungguhnya ALLAH dan malaikat-NYA berselawat kepada Nabi. (Oleh itu) wahai orang-orang yang beriman! Berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penuh penghormatan." – Surah al-Ahzab: 56

Selawat-selawat yang kita ucapkan mestilah bersumber dari hadis-hadis yang sahih dan bukan selawat-selawat ciptaan manusia. Antara kalimah selawat yang baginda telah ajarkan adalah seperti berikut:

Pertama:

Abdul Rahman bin Abi Lailah r.a berkata:

“Saya berjumpa dengan Ka’ab bin Abi Lailah lalu dia berkata: Mahukah aku hadiahkan kepadamu satu hadiah yang aku pernah mendengarnya daripada Nabi s.a.w? Jawabku: Sudah tentu! Hadiahkanlah kepadaku. Dia berkata: Kami (para sahabat) pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w bagaimana (cara) berselawat kepada kamu (wahai) ahli bait kerana sesungguhnya ALLAH telah mengajarkan kepada kami bagaimana (caranya) kami memberi salam (kepadamu)? Baginda menjawab: Ucapkanlah oleh kamu semua,

Maksudnya:

“Ya ALLAH! Selawat ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana ENGKAU telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya ENGKAU Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Ya ALLAH! Berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana ENGKAU telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim sesungguhnya ENGKAU Maha Terpuji lagi Maha Mulia.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, kitab Ahadith al-Anbiya’, hadis no: 3370.

Kedua:

Musa bin Talhah meriwayatkan daripada bapanya (iaitu Talhah bin ‘Ubaidullah) r.a katanya:

“Kami (para sahabat) bertanya: Ya Rasulullah, bagaimanakah (caranya) berselawat kepadamu? Baginda bersabda: Kamu semua hendaklah mengucapkan,

Maksudnya:

“Ya ALLAH! Selawatlah ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana ENGKAU telah berselawat kepada Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya ENGKAU Maha Terpuji lagi Maha Mulia. Dan berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana ENGKAU telah memberkati Ibrahim dan keluarga Ibrahim. Sesungguhnya ENGKAU Maha Terpuji lagi Maha Mulia.” - Hadis riwayat Ahmad di dalam Musnad Ahmad, hadis no: 1323 dan juga diriwayatkan oleh Imam al-Nasaai di dalam Sunan al-Nasaai , kitab al-Sahwa, hadis no: 1273 dan 1274.

Ketiga:

Abu Mas’ud al-Anshari r.a berkata:

“Rasulullah s.a.w datang kepada kami sedang kami berada dalam majlis Sa’ad bin ‘Ubadah. Kemudian Basyir bin Sa’ad bertanya kepada baginda: ALLAH telah memerintahkan kepada kami berselawat kepadamu wahai Rasulullah, maka bagaimanakah (caranya) kami berselawat kepadamu? Abu Mas’ud berkata: Lalu Rasulullah s.a.w diam sehingga kami ingin kalau sekiranya dia (Basyir bin Sa’ad) tidak bertanya kepada baginda. Kemudian Rasulullah s.a.w bersabda: Kamu semua hendaklah mengucapkan,

Maksudnya:

“Ya ALLAH! Selawatlah ke atas Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana ENGKAU telah berselawat kepada keluarga Ibrahim. Ya ALLAH! Berkatilah Muhammad dan keluarga Muhammad sebagaimana ENGKAU telah memberkati keluarga Ibrahim mengatasi seluruh alam. Sesungguhnya ENGKAU Maha Terpuji lagi Maha Mulia.” - Hadis riwayat al-Nasaai di dalam Sunan al-Nasaai, kitab al-Sahwa, hadis no: 1268 dan juga diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi di dalam Sunan al-Tirmizi, kitab Tafsir al-Quran, hadis no: 3144.

Keempat:

Abu Humaid al-Saa’idi r.a berkata:

“Sesungguhnya mereka (para sahabat) bertanya: Ya Rasulullah! Bagaimana (cara) kami berselawat kepadamu? Jawab baginda: Ucapkanlah,

Maksudnya:

“Ya ALLAH! Selawatlah kepada Muhammad dan kepada isteri-isteri beliau dan keturunannya sebagaimana ENGKAU telah berselawat kepada keluarga Ibrahim. Ya ALLAH! Berkatilah Muhammad, isteri-isteri beliau dan keturunannya sebagaimana ENGKAU telah memberkati keluarga Ibrahim. Sesungguhnya ENGKAU Maha Terpuji lagi Maha Mulia.” - Hadis riwayat al-Bukhari di dalam Sahih al-Bukhari, kitab al-Anbiya’, hadis no: 3369 dan kitab al-Da’wat, hadis no: 6360. Hadis ini juga diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahih Muslim, kitab al-Solah, hadis no: 407.

Selain dari selawat-selawat di atas, terdapat beberapa lagi cara selawat yang telah diajar oleh Rasulullah s.a.w dan boleh kita dapati dari hadis-hadis sahih. Semuanya boleh dimanfaatkan ketika ingin berselawat kepada baginsa s.a.w. Sewajarnya kita mencontohi cara bacaan yang benar-benar telah diajar oleh baginda sendiri.

Dewasa ini ramai orang yang tidak mengambil peduli sunnah yang benar-benar mencontohi Rasulullah s.a.w berkaitan tatacara berselawat. Malah, mereka bukan sekadar menambah lafaz sayyidina atau lafaz-lafaz lain dalam selawat, tetapi ada yang sampai ke tahap menggubah tatacara atau lafaz-lafaz baru secara total tanpa ada contohnya daripada Nabi s.a.w, para sahabat, tabi’in, tabi’ al-Tabi’in mahupun imam-imam mazhab yang empat. Pada tanggapan mereka ini adalah satu perbuatan yang lebih bermanfaat berbanding lafaz asal yang datang daripada baginda s.a.w.

Tindakan sebegini sepatutnya dihindari secara total oleh umat Islam dan kembali kepada ajaran Nabi s.a.w sebagaimana yang terdapat di dalam hadis-hadis sahih. Ini kerana, Nabi Muhammad s.a.w adalah makhluk paling sempurna ibadahnya dan yang paling mulia di sisi ALLAH. Sewajarnya kita tidak mencontohi ikutan selain baginda s.a.w.

Menurut Syeikh Abu Ubaidah:

"Setelah kita ketahui bahawa bacaan selawat kepada Nabi s.a.w merupakan contoh ibadah dan sesuatu bersifat tauqifi. Kita tidak boleh menambah mahupun mengubah lafaz yang telah ditetapkan dengan bentuk formula selawat yang baru. Tindakan itu merupakan salah satu bentuk pembangkangan terhadap pemilik syariat (ALLAH) yang sebenarnya harus kita patuhi dan kita cintai dengan sepenuh hati." - Abu Ubaidah Mashur bin Hassan, Koreksi Total Ritual Solat, edisi terjemahan oleh W. Djunaeidi S, Pustaka Azzam, Jakarta (2001), ms. 162.

Sememangnya, berselawat kepada baginda disyariatkan dalam pelbagai ibadah seperti tasyahhud dalam solat, khutbah, solat jenazah, sesudah azan, saat berdoa, saat namanya disebut dan pelbagai kesempatan lain.

5. Mencintai mereka yang dicintai oleh Nabi s.a.w.

Antara tanda cinta seseorang kepada Nabi s.a.w adalah mencintai mereka yang dicintai oleh baginda seperti ahli keluarga dan para sahabatnya serta membenci mereka yang memusuhi, membenci serta menentang dakwah baginda.

Sabda Rasulullah s.a.w:

Maksudnya:

"Janganlah kamu semua mencaci salah seorang sahabatku. Ini kerana, sekiranya salah seorang di kalangan kamu menafkahkan emas sebesar gunung Uhud, semua itu tidak mampu menyamai satu mud (yang diinfakkan) salah seorang antara mereka malah tidak mencapai separuh." – Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, kitab Fadhail al-Sohabah, hadis no: 2541.

Sabda Nabi s.a.w:

Maksudnya:

"Wahai manusia! Sesungguhnya aku hanyalah manusia biasa yang hampir sahaja utusan TUHANku (malaikat maut) datang menjemputku lalu aku memenuhinya. Aku akan meninggalkan kepadamu tsaqalain (dua perkara yang berat):
Pertama, Kitabullah yang berisi petunjuk dan cahaya. Berpegang teguhlah kepada Kitabullah. Baginda menganjurkan atas Kitabullah dan motivasi untuk itu,
Kemudian baginda bersabda: Dan juga ahli baitku. Aku mengingatkan kamu semua kepada ALLAH tentang ahli baitku, aku mengingatkan kamu semua kepada ALLAH tentang ahli baitku." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, kitab Fadhail al-Sohabah, hadis no: 2408.

Secara logiknya, sesiapa yang mencintai seseorang dia juga akan mencintai apa yang dicintai oleh orang yang disayangi. Hal ini dikuatkan dengan dalil berikut:

"Sesungguhnya sesiapa yang mencintai sesuatu maka dia akan mencintai segala yang disukainya, yang serupa dengannya dan segala yang ada kaitan dengannya." - Rujuk Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari karya al-Hafiz Ibn Hajar al-'Asqalani.

6. Membenci Orang Yang Dibenci Oleh Nabi s.a.w.

Hendaklah kita membenci serta menjauhkan diri daripada mereka yang memusuhi Allah dan Rasul-Nya seperti golongan yang kufur kepada agama Allah dan mereka yang bergelumang dengan perbuatan yang bertentang dengan syarak. Firman Allah S.W.T..

Engkau tidak akan dapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, tergamak berkasih-mesra dengan orang-orang yang menentang (perintah) Allah dan Rasul-Nya, sekalipun orang-orang yang menentang itu ialah bapa-bapa mereka, atau anak-anak mereka, atau saudara-saudara mereka, ataupun keluarga mereka. Mereka (yang setia) itu, Allah telah menetapkan iman dalam hati mereka, dan telah menguatkan mereka dengan semangat pertolongan daripada-Nya; dan DIA akan memasukkan mereka ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka tetap kekal di dalamnya. Allah redha akan mereka dan mereka redha (serta bersyukur) akan nikmat pemberian-Nya. Merekalah penyokong-penyokong (agama) Allah. Ketahuilah! Sesungguhnya penyokong-penyokong (agama) Allah itu ialah orang-orang yang berjaya. – al-Mujadaalah (58) : 22

7. Membela Nabi s.a.w dari serangan golongan munafik.

Dewasa ini kita melihat institusi kenabian, hukum-hakam ALLAH serta sunnah-sunnah baginda s.a.w sedang hebat diperlekehkan oleh kelompok-kelompok munafik seperti gerakan Islam liberal, golongan anti hadis, para orientalist dan kelompok sesat yang lain.

Oleh itu, antara tanda kecintaan kita kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah dengan membantah hujah-hujah golongan tersebut dan membela baginda dengan memberikan penjelasan kepada seluruh umat Islam terhadap isu-isu batil yang dibangkitkan oleh musuh-musuh ALLAH.

Sabda Nabi s.a.w:
Maksudnya:

"Sesiapa yang membela kami dari gangguan orang-orang musyrik dia akan mendapat balasan syurga atau menjadi temanku di syurga." - Hadis riwayat Muslim di dalam Sahih Muslim, kitab al Jihad wa al-Siyara, hadis no: 1789.

ALLAH akan sentiasa menghargai mereka yang membela agama-NYA dengan memberi pertolongan kepada mereka.

Firman ALLAH S.W.T:

"Sesungguhnya ALLAH pasti menolong mereka yang menolong agama-Nya. Sesungguhnya ALLAH benar-benar Maha Kuat lagi Maha Perkasa." – Surah al-Haj: 40.

Demikianlah beberapa tanda yang menggambarkan hakikat sebenar mencintai Nabi Muhammad s.a.w. Jelas di sini bahawa hakikat mencintai Nabi s.a.w bukanlah satu perkara yang datang hanya setahun sekali, iaitu pada tarikh 12 Rabiul Awal sahaja atau dengan hanya menganjurkan upacara-upacara tertentu sempena maulidur rasul. Malah, mencintai Nabi Muhammad s.a.w adalah satu proses berterusan dan sentiasa perlu diberi perhatian setiap waktu dan ketika.

Jelas juga kepada kita bahawa antara ciri-ciri utama golongan yang benar-benar mencintai baginda adalah mereka yang sentiasa berusaha menegakkan sunnah serta menentang bidaah.

Semoga sambutan maulidur rasul di Malaysia benar-benar akan menggambarkan hakikat sebenar kecintaan umat Islam di negara ini terhadap Nabi Muhammad s.a.w dengan menyisihkan segala amalan-amalan bidaah yang dikhususkan sempena sambutan hari yang penuh bermakna bagi seluruh umat Islam. Cinta kepada Rasulullah s.a.w dapat dibuktikan dengan ittiba’ (mengikuti sunnah Nabi s.a.w) dan bukan ibtida’ (mengamalkan amalan bidaah).

0 comments: