Tanam Gigi


Soalan : "Gigi depan saya sudah dicabut kerana buruk dan sekarang memakai gigi palsu. Bolehkah saya tanam gigi untuk gantikan gigi palsu kerana banyak masalah pakai gigi palsu ini. Apakah hukumnya? Bagaimana sekiranya saya meninggal nanti kerana ada orang kata apabila kita meninggal semua anggota palsu kita perlu dibuka."

Dijawab oleh Ustazah Sakinah;
Dibolehkan menanam gigi yang telah rosak dan menggantikannya dengan gigi yang baru. Ia tidak termasuk mengubah ciptaan ALLAH kerana pada asalnya gigi tersebut wujud. Kemudian rosak. Tambahan pula proses situ perlu memandangkan gigi sentiasa digunakan. Seorang sahabat pernah mengalami kerosakan hidung akibat peperangan.

Kemudian beliau meminta keizinan Nabi s.a.w untuk menggantikan hidungnya dengan hidung yang diperbuat daripada emas. Lalu baginda membenarkan. Gigi yang ditanam itu tidak lagi perlu dibuka apabila meninggal. Kerana perkara seperti itu tidak pernah disebut dalam nas yang tsabit daripada Rasulullah s.a.w.

Sumber : Soal Jawab Agama ALAF 21, http://agama.zonalaf.com.my

Cinta

Aku tertanya-tanya ‘apakah itu cinta?’
Aku tercari-cari ‘dimanakah cinta?’
‘Cinta’ apakah kalimah keramat ini?
’Cinta’ apakah ia buta?
Apakah, dimanakah kalimah keramat itu
Hati, perasaan, akal atau perbuatan
’Cinta’
Apakah yang aku cari?
Cinta ku yang satu
Cintaku pada manusia
Wanita, perempuan
Siapakah wanita yang ku cari?..
Pernahkah aku melihatnya?
Pernahkah aku mengenalinya?.
Jauh di sudut hati aku
’Cinta’
Ya, Allah cintaku
Dan segala yang disukai oleh Allah
Inilah cintaku
Ku pasak utama sekali.

Apabila Manusia Bijak



Seringkali kita mendengar mengenai bencana, kerosakan, kemusnahan alam hijau, flora dan fauna bumi. Pernahkah kita tertanya atau terlintas di benak fikiran kita, angkara siapakah? Ramai yang mengetahui bahkan mengakui dan menjawab ianya angkara manusia. Kenapa manusia yang dipersalahkan?..

Ya inilah bukti betapa bijaknya akal manusia mengurus alam hijau. Apabila akal digunakan secara bijak dengan mefokuskan kepada kepentingan diri melampaui sempadan perikemanusiaan.

Namun sejauh manakah akal bijak manusia digunakan?. Mungkin dengan membawa bukti bahawa akal bijak manusia boleh menghalang perkara atau kejadian tidak berperikemanusiaan terhadap alam hijau ini dari berlaku. Yakni dengan memperbaikinya, memeliaharanya, memuliharanya seterusnya memberi manfaat kepada manusia.

Mungkin YA, apabila akal bijak manusia berperikemanusiaan.

“Perubahan dan Reformasi”: Kerajaan Fayyad melanggar undang-undang.


Rabu, 20/05/2009 - Blok “Perubahan dan Reformasi” yang mewakili HAMAS dalam Majlis Perundangan Palestin menegaskan kerajaan Fayyad yang dibentuk oleh pihak berkuasa di Ramallah, Mahmoud Abbas dengan dipimpin oleh Salam Fayyad adalah tidak mengikut undang-undang dan perlembagaan, kerana ia tidak mendapat kepercayaan daripada Majlis Perundangan.

Blok tersebut berkata dalam satu kenyataan yang diterima oleh Pusat Media Palestin pada hari Selasa (19/5): “Angkat sumpah yang dilakukan di hadapan presiden yang sudah tamat tempoh jawatannya adalah tidak bernilai selagi mana ia tidak dibentangkan di hadapan Majlis Perundangan dan ia adalah tertolak dari sudut undang-undang parlimen.” Perlanggaran undang-undang yang dilakukan oleh Abbas merupakan perbuatan memberikan oleh orang yang tidak memiliki apa-apa kepada orang yang tidak berhak menerimanya.

Blok tersebut juga menyifatkan kerajaan tersebut sebagai merampas kuasa pihak berkuasa Palestin. Ia mesti dihadapkan ke mahkamah Palestin sebaik sahaja dibentuk kerana ia melanggar undang-undang Palestin. Blok itu juga menegaskan penerusan kerajaan tersebut menjalankan pemerintahan dianggap sebagai kedegilan dan penerusan dalam perlanggaran undang-undang perlembagaan Palestin, serta penerusan dalam melakukan jenayah perampasan kuasa. Mana-mana keputusan yang diambil olehnya dianggap tidak sah dari sudut undang-undang. Setiap yang membuat keputusan tersebut bertanggungjawab penuh dan boleh dipersoalkan di hadapan rakyat Palestin.
penterjemah : muhajir

Ubat Anti Tekanan


Soalan : "Bolehkah seorang yang mengalami tekanan khususnya terkanan selepas bersalin (post-partum depression) mengambil ubat (dadah) anti tekanan yang disyorkan oleh pakar psikologi non-Muslim."

Dijawab oleh Sheikh `Abd Allah al-Zâyidî, Professor di Universiti al-Imâm

Ubat penggalak Serotonin seperti Prozac dan pelbagai jenis ubat anti tekanan lain adalah dibenarkan jika dia disyorkan oleh doktor yang layak.

Kebenaran ini bergantung kepada situasi di mana ubat (dadah) tersebut benar-benar diperlukan oleh pesakit. Ubat tersebut juga perlu dipastikan tidak menyebabkan keracunan atau ketagihan.
Dan ALLAH mengetahui yang terbaik.

Sumber : http://islamtoday.com

Ucapan Ku Sempena Hari Guru


Pada 16 Mei setiap tahun kita akan menyambut Hari Guru. Hari tersebut bertujuan untuk mengenang dan menghargai segala sumbangan guru yang diberikan pada kita. Pada tahun ini (2009) sambutan hari guru yang bertemakan ‘Guru Pembina Negara Bangsa’ merupakan penyataan yang tinggi di atas komitmen guru yang diberikan selama ini.


Guru sememangnya pembina kepada kecemerlangan dan kegemilangan sesebuah negara dan bangsa. Tidak ada sesiapapun di dunia ini yang terkecuali daripada menerima sentuhan seorang guru. Walau apa pun yang diperkatakan atau dikritik ke atas profesion perguruan, tugas dan fungsi guru tetap mulia apatah lagi ia menjadikan manusia lebih beradab melalui proses pembudayaan ilmu dan pembacaan.


Sejak dahulu lagi kerjaya seorang guru begitu dikagumi dan disanjung. Mereka lambang insan-insan kamil yang terserlah jasanya hingga ke akhir hayat. Kelompak inilah yang telah mewarnai dan mengisi sebahagian sahsiah manusia dengan taburan benih ilmu.


Tetapi sejak akhir-akhir ini jasa dan pengorbanan guru seolah-olah kurang dihargai. Bukan setakat itu sahaja malah martabat guru terus-terusan di hanyut badai dek kencaman kerana nila setitik rosak susu sebelanga.


Kalau kita lihat kembali pada tamadun Yunani, pendidikan bertujuan untuk melahirkan manusia yang seimbang pencapaiannya dari sudut mental, fizikal dan spiritual. Sesungguhnya manusia yang berilmulah yang dapat memenuhi tuntutan mental, fizikal dan spiritual.


Dalam usaha mencari ilmu pengetahuan, peranan guru amat penting seperti kata hukamak “ Berguru tanpa belajar sia-sia, belajar tanpa guru amat berbahaya”. Kita sebagai pelajar perlulah ada 4 (empat) M iaitu:


1) Mematuhi arahan guru
2) Mendekati mereka
3) Menghormati mereka
4) Menyayangi mereka


Guru-guru perlu dihormati agar kita memperolah keberkatan ketika belajar. Ketika di sekolah budi bahasa perlu dijaga jangan sampai guru jauh hati sebaik-baiknya perlu ringan tulang membantu guru.


Tiadanya para guru akan memberikan kesan yang besar dalam kehidupan individu dan masyarakat. Berkemungkinan besar kita kan kembali ke zaman jahilliah yang tidak bertamadun.


Martabat dan maruah pendidik perlu dijulang kembali bagi membuka mata masyarakat agar menghargai masa mereka. Hubungan yang terjalin erat antara guru dan pelajar akan menyedarkan masyarakat betapa jasa dan pengorbanan guru wajar dihargai. Kenangkanlah jasa guru yang hidupnya umpama lilin menerangi kegelapan hati. Semoga dengan pengiktirafan dan penghargaan yang sewajarnya terhadap guru akan mendorong guru berkhidmat dengan lebih giat demi mendidik anak bangsa yang bakal menjadi pemimpin terpimpin di masa hadapan.


Akhir kalam, walaupun saya tidak lagi belajar di sekolah rendah atau menengah, bagi saya tiada istilah 'bekas' atau 'ex' cikgu saya kerana anda wahai guru-guru ku adalah cikgu ku selama-lamanya. Banyak yang saya pelajari dari kalian. Engkaulah guru yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Sekiaranya bukan kerana engkau wahai sang guru, tidakalah aku seperti sekarang.


Selamat Hari Guru kepada guru-guru saya yang pernah mengajar saya di Sekolah Rendah Kebangsaan Padang Matsirat Langkawi dan Maktab Mahmud Langkawi.

Pemindahan Jantung Dan Mata



Pemindahan mata dan jantung orang mati kepada orang yang hidup adalah dibenarkan (harus) dalam Islam, dan di atas kebenarannya pertimbangan-pertimbangan berikut hendaklah diambilkira:



a)Di dalam keadaan mendesak dan mustahak, bahawa nyawa penerimanya bergantung kepada pemindahan anggota itu dan pemindahannya adalah difikirkan berjaya.


b)Di dalam keadaan pemindahan jantung, kematian penderma telah dipastikan sebelum dipindahkan jantungnya.


c)Tindakan-tindakan yang sewajarnya hendaklah diambil supaya tidak ada pembunuhan manusia dan perdagangan anggota-anggotanya.


d)Kebenaran hendaklah diperolehi daripada penderma-penderma sebelum pemindahan sebarang anggota di dalam kematian biasa atau dari kaum keluarga atau keluarganya didalam kematian akibat kemalangan.


Sumber : Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kali Pertama

Anak Muda Tidak Tergila-Gilakan Raja

Artikel ini menarik untuk dibaca dan direnung-renungkan. Penulis yakin artikel ini bukanlah untuk tujuan menghasut atau mengkhianat tapi ia adalah realiti kehidupan hari ini mungkin juga untuk masa-masa akan datang. Penulis copy and paste dari malaysiakini.com, artikel ini dikarang oleh Hishamuddin Rais. Oleh itu, marilah renungkan...
"Penghormatan diberi, bukan boleh diminta-minta. Individu dihormati bukan kerana paksaan undang-undang atau akta kejam. Kalau ada sesiapa tidak ingin menghormati tuan, mandor, ketua pejabat, cikgu atau raja - tidak ada apa-apa yang boleh dilakukan. Menangkap, merotan atau memenjarakan seseorang tidak akan melahirkan apa-apa penghormatan.
Che Guevera dihormati anak-anak muda di seluruh dunia bukan kerana ada undang-undang daripada Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu atau ada arahan daripada IMF atau Mahkamah Dunia. Che diberi penghormatan kerana hati naluri anak-anak muda mahu menghormatinya.
Che Guevera tidak pernah meminta-minta penghormatan ini kerana dia telah lama mati.
Penghormatan yang ditimbulkan melalui undang-undang, kuasa atau pangkat bukan penghormatan sebenar; ini semua penghormatan yang pura-pura. Dr Mahathir Mohamad satu ketika dahulu dihormati kerana dapat memberi habuan kontrak.
Malah Mahathir sendiri sedar hingga dia membebel sesudah kalah untuk menjadi delegasi Kubang Pasu ke perhimpunan United Malays National Organisation pada 2006 dahulu. Dia membebel kerana tidak ada lagi orang yang datang mencium tangannya.
Lihat pula Abdullah Ahmad Badawi. Belum pun tamat tempohnya sebagai perdana menteri – kerana tandatangannya tidak lagi laku dan tidak mendatangkan kontrak – tidak ramai menteri dan para pembodek berhari raya di Kepala Batas tahun lalu.
Berilah apa sahaja nama dan darjah penghormatan – Tun, Tan atau Tin – ia hanya tin-tin yang kosong dan tidak membawa apa-apa pengertian. Pakaikan baju kuning, merah atau kelabu, pasangkanlah tanjak tujuh tingkat, semuanya tidak ada makna. Rasa hormat datang daripada hati.
Pada 1964 Jean Paul Sartre dianugerah Hadiah Nobel Sastera. Dia tidak datang mengambil hadiah ini. Malah Sartre langsung tidak ambil peduli. Dia menolak penghormatan yang mengada-ada. Tetapi idea dan falsafah Sartre masih menggegarkan dunia. Idea dan falsafah inilah yang dinobatkan untuk dihormati, daripada segala bentuk penghormatan yang pura-pura.
Bagitu juga Le Duc Tho yang mendapat Hadiah Nobel Keamanan pada 1973. Dia juga tidak pergi ke Stockholm untuk mengambilnya. Hingga ke hari ini Duc Tho masih dihormati dan diingati sebagai patriot Vietnam yang merangka dan membuka jalan damai untuk negaranya pada 1972.
Justeru apabila ada gerombolan yang meloncat mengambur meminta dan memaksa orang ramai agar menghormati raja, maka permintaan ini kelihatan sebagai lawak bodoh. Meminta dihormati, memaksa dihormati - atau melembagakan penghormatan - bukan penghormatan namanya.
Penghormatan datang secara sukarela dari hati suci yang ikhlas dan jujur. Penghormatan yang suci bukan kerana upah, paksaan, atau janji pangkat dan kontrak.
Kalau seorang anak sekolah ditarik telinga dan dipaksa menghormati guru besarnya, maka untuk beberapa saat (ketika telinganya sakit) mungkin anak sekolah ini akan berkata bahawa dia menghormati si guru besar. Terlepas sahaja telinganya daripada pulasan, anak sekolah ini bukan sahaja tidak akan menghormati si guru besar, malah besar kemungkinan si guru besar akan dibaling dengan najis. Ini hakikat.
Apabila saya (Hishamuddin Rais) menulis artikel, awal Mac, cerita-cerita karut tentang daulat raja, tulah raja, jampi raja – semuanya tidak dipercayai lagi. Anak-anak muda hari ini tidak lagi gempaq dengan daulat raja – mereka gempaq dengan penyanyi rock n roll.
Anak muda hari ini akan gempaq dengan pemain bola, pemusik, pelakon, penggodam internet atau pembawa counter-culture yang melawan arus. Ini hakikat bukan sahaja di Malaysia, malah inilah jalur pemikiran anak muda di seluruh dunia.
Pergi lawati bilik anak muda – tidak mungkin ditemui gambar Sultan, Raja atau Shah di dinding bilik mereka. Besar kemungkinan akan ditemui gambar sebuah kugiran rock, wajah seorang bintang rock atau mungkin poster Che Guevera.
Belum pernah ada dalam dunia ini seorang anak muda yang akan bergadai-bergolok untuk mendapatkan baju T gambar seorang raja – tetapi mereka sanggup ke e-bay untuk membida baju arwah John Lennon yang ori. Ini hakikat rasa hormat dan cinta kerana kerana kita telah sampai ke tahun 2009.
Raja Maghribi, Ratu Elizebeth, Sultan Brunei, Raja Abdullah al-Saud atau Sultan Perak - jika tidak kerana protokol – jika pegawai-pegawai kerajaan tidak diarahkan, jika anak-anak sekolah tidak di paksa - dewan akan kosong.
Tidak akan ada ramai orang yang datang memenuhi dewan untuk mendengar susuk-susuk ini berucap.Sampai kiamat pun anak-anak muda tidak akan membayar harga tiket RM200 untuk mendengar mereka membebel. Tetapi anak-anak muda sanggup turun ke Singapura atau naik ke Bangkok untuk mendengar sebuah rock band datang bermain.
Raja Gopal, Raja Kapoor atau Raja Perak harus sedar diri. Pada hari ini tidak ramai lagi orang yang ambil pot kerana nama mereka bermula dengan raja. Inilah hakikat tahun 2009.
Masyarakat kota tidak lagi mencari makan daripada hasil tanah. Mereka memburuh. Mereka membanting tulang di kilang dan di pabrik. Apabila mereka meninggalkan tanah, berhijrah ke bandar bererti mereka telah memutuskan hubungan dengan budaya feudal.
Masyarakat kota melahirkan budaya mereka sendiri – budaya dan gaya hidup yang tidak lagi bergantung kepada raja atau sultan. Dalam budaya urban, sistem feudal tidak memainkan peranan.Memang ada wujud kumpulan-kumpulan yang masih menganggap kaum feudal itu wajib dihormati kerana darah keturunan mereka. Kumpulan ini mereka yang ingin menahan gerak dan arus pembudayaan dunia moden hari ini.
Malah di Perancis, sebuah negara republik, masih ada warga yang cuba membawa kembali sistem beraja. Mereka bernostalgia terhadap zaman feudal yang telah terkambus masa.
Di Tanah Melayu juga masih ada kumpulan dan gerombolan yang percaya dengan "daulat" raja. Sebenarnya, usaha ini wujud kerana kepentingan ekonomi mereka bergayut dengan kaum feudal. Mereka ingin memastikan yang kepentingan ekonomi mereka akan dapat dipayungi oleh kaum feudal. Justeru, mereka sanggup membeli derajat kebesaran agar mereka dapat juga dilihat "besar".
Hakikanya - kumpulan dan gerombolan pro-feudal ini dari sehari ke sehari semakin berkurangan. Pengurangan kumpulan dan gerombolan ini bukan dirancang. Pengurangan ini muncul dengan sendiri kerana asas ekonomi telah berubah.
Dalam konteks asas ekonomi kapitalis moden, keupayaan individu dinobatkan bukan kerana darah keturunan. Barack Obama, Micheal Jackson atau Colin Powell berada di tempat mereka hari ini bukan kerana mereka cucu kepada Raja Buganda dari Afrika tetapi kerana fikrah dan keilmuan mereka. Inilah hakikatnya.
Kenyataan ini bukan bermakna kita tidak menghormati Raja Gopal, Raja Kapoor atau Raja Perak. Sebagai sesama insan, kita wajib menghormati satu sama lain. Kita juga wajib beradab dan bersopan terhadap mereka.
Penghormatan, adab sopan yang kita tunjukkan kepada mereka bukan kerana mereka raja. Mereka berhak menerima penghormatan daripada kita jika mereka memiliki tingkat keintelektualan dan fikrah yang unggul.
Penghormatan yang ikhlas dan sukarela tidak berpenghujung dan tidak bernoktah. Seperti Che Guevera, zaman berzaman susuk ini akan terus dimuliakan walau telah lama mati. Tidak seperti Mahathir yang terpaksa membebel untuk dihormati.
Atau seperti Ghazali Shafie atau Muhamad Rahmat yang seperti tunggul, pergi tersepak dan pulang terlanggar. "

Pesanan Kepada YB Nizar


1. Kepada Nizar, tahniah penulis ucapkan kerana Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengesahkan bahawa Nizar kekal MB Perak.

2. Kepada Nizar, tanggungjawab berat kembali dipikul. Laksanakanlah amanah dengan sebaik-baiknya.

3. Kepada Nizar, inagtlah rakyat, bantulah rakyat.

4. Kepada Nizar, hidup biar sederhana jangan terlalu mewah.

5. Kepada Nizar, masalah rakyat diutamakan, prestasi ditingkatkan.

6. Kepada Nizar, janganlah mengutuk mengata mencerca mencaci seseorang tanpa bukti.

7. Kepada Nizar, janganlan buat sesuatu keputusuan sebelum fikir sedalam-dalamnya dan sebaik-baiknya

8. Kepada Nizar, keputusan yang dibuat bukanlah demi kepentingan diri sendiri atau pihak yang berkepentingan. Ingatlah dan utamakan rakyat.

9. Kepada Nizar, dengarlah rintihan rakyat bawahan, keraplah turun padang menjenguk rakyat.

10. Kepada Nizar, utamakan kepentingan AGAMA, BANGSA DAN NEGARA.

ALLAHU AKBAR.. Nizar MB Perak Yang Sah


KUALA LUMPUR 11 Mei – Mahkamah Tinggi di sini hari ini memutuskan bahawa Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin adalah Menteri Besar Perak yang sah.

Hakim Datuk Abdul Aziz Abdul Rahim memutuskan demikian setelah mendapati jawatan Menteri Besar tidak boleh dianggap kosong dan undi tak percaya hanya boleh dibuat di Dewan Undangan Negeri (DUN). Sumber: Utusan Online..

p/s.. penulis ingin mengucapkan jutaan tahniah kepada YB di atas keputusan itu. Namun yang demikian penulis tertanya bagaimana pula dengan kuasa sultan yang melantik MB YB Zambery. Banyak persolaan yang bermain di pemikiran penulis. Akhirnya, bagaimanakah kancah gila politik dan jawatan di Perak akan berkahir.. Sama-sama kita nantikan.

Bagi yang jadi YB dari mana-mana pari politik, dari mana-mana kawasan. Penulis ingin berpesan ingatlah Allah bagi muslim. Ingatlah rakyat. Bantulah Rakyat...