Ucapan Ku Sempena Hari Guru


Pada 16 Mei setiap tahun kita akan menyambut Hari Guru. Hari tersebut bertujuan untuk mengenang dan menghargai segala sumbangan guru yang diberikan pada kita. Pada tahun ini (2009) sambutan hari guru yang bertemakan ‘Guru Pembina Negara Bangsa’ merupakan penyataan yang tinggi di atas komitmen guru yang diberikan selama ini.


Guru sememangnya pembina kepada kecemerlangan dan kegemilangan sesebuah negara dan bangsa. Tidak ada sesiapapun di dunia ini yang terkecuali daripada menerima sentuhan seorang guru. Walau apa pun yang diperkatakan atau dikritik ke atas profesion perguruan, tugas dan fungsi guru tetap mulia apatah lagi ia menjadikan manusia lebih beradab melalui proses pembudayaan ilmu dan pembacaan.


Sejak dahulu lagi kerjaya seorang guru begitu dikagumi dan disanjung. Mereka lambang insan-insan kamil yang terserlah jasanya hingga ke akhir hayat. Kelompak inilah yang telah mewarnai dan mengisi sebahagian sahsiah manusia dengan taburan benih ilmu.


Tetapi sejak akhir-akhir ini jasa dan pengorbanan guru seolah-olah kurang dihargai. Bukan setakat itu sahaja malah martabat guru terus-terusan di hanyut badai dek kencaman kerana nila setitik rosak susu sebelanga.


Kalau kita lihat kembali pada tamadun Yunani, pendidikan bertujuan untuk melahirkan manusia yang seimbang pencapaiannya dari sudut mental, fizikal dan spiritual. Sesungguhnya manusia yang berilmulah yang dapat memenuhi tuntutan mental, fizikal dan spiritual.


Dalam usaha mencari ilmu pengetahuan, peranan guru amat penting seperti kata hukamak “ Berguru tanpa belajar sia-sia, belajar tanpa guru amat berbahaya”. Kita sebagai pelajar perlulah ada 4 (empat) M iaitu:


1) Mematuhi arahan guru
2) Mendekati mereka
3) Menghormati mereka
4) Menyayangi mereka


Guru-guru perlu dihormati agar kita memperolah keberkatan ketika belajar. Ketika di sekolah budi bahasa perlu dijaga jangan sampai guru jauh hati sebaik-baiknya perlu ringan tulang membantu guru.


Tiadanya para guru akan memberikan kesan yang besar dalam kehidupan individu dan masyarakat. Berkemungkinan besar kita kan kembali ke zaman jahilliah yang tidak bertamadun.


Martabat dan maruah pendidik perlu dijulang kembali bagi membuka mata masyarakat agar menghargai masa mereka. Hubungan yang terjalin erat antara guru dan pelajar akan menyedarkan masyarakat betapa jasa dan pengorbanan guru wajar dihargai. Kenangkanlah jasa guru yang hidupnya umpama lilin menerangi kegelapan hati. Semoga dengan pengiktirafan dan penghargaan yang sewajarnya terhadap guru akan mendorong guru berkhidmat dengan lebih giat demi mendidik anak bangsa yang bakal menjadi pemimpin terpimpin di masa hadapan.


Akhir kalam, walaupun saya tidak lagi belajar di sekolah rendah atau menengah, bagi saya tiada istilah 'bekas' atau 'ex' cikgu saya kerana anda wahai guru-guru ku adalah cikgu ku selama-lamanya. Banyak yang saya pelajari dari kalian. Engkaulah guru yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Sekiaranya bukan kerana engkau wahai sang guru, tidakalah aku seperti sekarang.


Selamat Hari Guru kepada guru-guru saya yang pernah mengajar saya di Sekolah Rendah Kebangsaan Padang Matsirat Langkawi dan Maktab Mahmud Langkawi.

0 comments: