Mujur Ramadhan


Ramadhan meninggalkan kita. Namun ia akan menjelma lagi. Kita pula belum tentu dapat bersua dengan Ramadhan. Kerana kita "rumah kata pergi, kubur kata mari". Sesungguhnya ramai di kalangan kita ingin bersua dengan Ramadhan yang akan datang.

Ya, kerana bulan inilah kita berlumba-lumba melakukan pelbagai amalan. Amalan fardhu buat yang terbaik, tepat pada waktunya, amalan sunat diperbanyakkan. Bulan ini juga, mulut kita terkunci dari caci mencaci, fitnah memfitnah dan seangkatan dengannya. Bulan ini juga ingatan kita pada Allah begitu kuat sekali, mulut menyebut Allah, berzikir serta membaca al-Quran. Kelas pengajian al-Quran dan al-Hadis diperbanyakkan, ceramah dan forum agama di mana sahaja, Qiyamullail bergema di tengah malam, amal jariah kepada fakir dan miskin, anak-anak yatim, ibu tunggal, rumah pengasih dan penyanyang memakan ruang, yang berada hatta tengku-tengku di Istana tak letih tangan menghulurkan sumbangan derma. Untung sungguh yang menerima sumbangan. Si artis pula mula berpakaian 'sedikit sopan'. Turut menghulurkan bantuan. Bulan ini memang di nantikan oleh semua. Kalau boleh nak sokmo bulan Ramadhan.

Namun ada juga yang kurang enak di bulan ini. Sekadar pengalaman penulis. Suatu hari penulis dengan kawan-kawan pergi ke bazar Ramadhan, kononnya ingin membeli juadah untuk berbuka. Di suatu kedai, kawan penulis ingin membeli ayam masak merah, tanpa bertanya harganya, dia terus membeli bahagian ayam itu, kecil sahaja bahagiannya makan pun belum tentu kenyang, kawan penulis terkejut beruk bila makcik melayu itu menyebut harganya RM4, terpaksalah ambil juga, ikut hati mahu saja dibaling ayan itu kemuka makcik melayu itu. Mujur puasa. Di bazar juga, banyak sungguh makanan yang enak, tapi harganya membunuh jiwa. Sepatutnya di bulan ini makcik-makcik, pakcik-pakcik bazar Ramadhan ini ambillah kesempatan buat amal, tak rugi pun bahkan pahala menjulang. Kadang-kadang bila kita membeli, dibaginya sedikit sahaja tak berbaloi dengan harganya.

Satu lagi perkongsian. Ini pula tentang baju raya penulis. Penulis tempah di sebuah kedai pakcik melayu di bandar Kuala Terengganu, penulis hantar sebelum Ramadhan dan dijanji siap 2 minggu sebelum raya. cukup dua minggu penulis ke kedai tersebut. Belum siap lagi butang bajunya. Ok, penulis tak cakap banyak sebab dia minta datang minggu depan. Minggu depan penulis pergi, jawapannya hampir sama. Penulis sabar, tapi ada batasannya hari dan masa yang dijanjikan penulis pergi dan terus buat bising. Manalah penulis tahan dengan janji yang dibuat. Dasar melayu janji tak tepati. Marah-marah juga. Asalkan berbaloi, 2 jam penulis tunggu dan akhirnya siap juga. Marah penulis bertukar senyuman dan ucapan selamat hari raya penulis lafazkan kepada pakcik itu serta bersalam-salaman. Mujurlah penulis puasa. Marah penulis tidak sampai ke tahap jingga.

Mujur Ramadhan.

Kenapa bila Ramadhan kita banyak berubah?. Kenapa pula lepas je Ramadhan kita juga berubah, berubah kita tidak seperti di bulan Ramadhan?. Kenapa amal kita tidak sama seperti di bulan Ramadhan?.

Seorang ulama salaf ditanya tentang kaum yang bersungguh-sungguh dalam ibadahnya pada bulan Ramadhan tetapi jika Ramadhan berlalu mereka tidak bersungguh-sungguh lagi, beliau menyatakan; " Seburuk-buruk kaum ialah yang tidak mengenal Allah secara benar kecuali di bulan Ramadhan sahaj. Padahal orang soleh adalah yang beribadah dengan bersungguh-sungguh di sepanjang bulan".

0 comments: