FIRMAN ALLAH YANG BERMAKSUD...
”Serulah (manusia) kepada jalan TUHANmu (wahai MUHAMMAD) dengan hikmah. dan pelajaran yang baik (nasihat) dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya TUHANmu jualah yang lebih mengetahui siapa yang sesat dari jalan-Nya dan Dialah lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat petunjuk.” (al-Nahl:125)
Al-Sa’id r.h (w.1376 H) –Taisir al-Karim al-Rahman, ms452- berkata:
’Hikmah maksudnya setiap individu diseru berdasarkan, keadaan, kefahaman, penerimaan dan perlaksanaanya. Antara bentuk hikmah ialah berdakwah dengan ilmu bukan dengan kejahilan, memulakan yang lebih penting dan apa yang berikutnya (ikut tertib), menyampaikan apa yang lebih dekat kepada pemikiran dan kefahaman, dengan cara yang lebih mudah diterima lunak dan lembut’.
Sementara mau’izah hasanah (nasihat yang baik) bermaksud, ungkapan yang baik dan dapat mengingatkan orang yang dinasihati itu. Antara caranya ialah dengan memberi amaran kepada mereka mengenai siksaan Allah di akhirat kelak dengan menggunakan pendekatan yang dapat menginsafkan mereka.
Berdebat dengan cara yang bersopan bermaksud, jika kita perlu berdebat dengan seseorang, kita hendaklah melakukan dengan cara yang baik, iaitu bersuara lunak, lembut dan menggunakan ungkapan yang baik.
Dengan ini, pendekatan maki hamun atau sumpah seranah yang digunakan sesetengah individu yang mengelar diri mereka pendakwah, adalah menyanggahi arahan Allah.Lebih buruk lagi ada dikalangan mereka sanggup menfitnah sesama mereka.
Segala dakwah dan usaha murni untuk mengajak manusia mentauhidkan Allah janganlah dikotori dengan slogan-slogan yang kasar, dan janganlah percakapan dakwah kita itu diadun dengan caci-cerca. Sesungguhnya perbuatan sebegini adalah dilarangan dalam Islam, berdasarkan ayat di atas.
Kesalahan seseorang wajiblah dinilai dahulu sbelum menghukum, bahkan perlu bagi kita untuk memberikan nasihat yang berguna tanpa memberikan tekanan kepada pihak terbabit. Nasihat hendaklah diberikan mengikut suasana dan keadaan, bahkan juga ditutut untuk kita memulakan sesuatu dengan lemah lembut dan mengikut aturan yang telah ditetapkan.
Sekiranya dalam perdebatan atau perbulaan, kita dituntut untuk membangkang atau membantah dengan cara yang lembut, bukannya meninggi suara. Janganlah menggunakan emosi, kerana dengan emosi, ia boleh memberikan kesan kepada dua belah pihak.
Sesungguhnya berfikirlah sebelum kita mengucapkan kata-kata, kerana apa yang kita ucapkan tidak boleh ditarik balik. Dengan berfikirlah akan membawa manfaat pada kita.
Dakwah secara lemah lembut dan ilmiah juga merupakan salah satu disiplin untuk membela Islam.
Setiap pendekatan yang diambil untuk berdakwah, hendaklah secara lemah lembut dan bijaksana. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui di sebalik perintah-Nya.
Wallahu’lam..
0 comments:
Post a Comment