Alhamdulillah. Allahumma solli ‘ala Muhammad wa ‘ala ali Muhammad. Amma ba’d.
Minggu lepas, di mana-mana pun masyarakat Muslim di seluruh dunia menyambut MaulidurRasul. MaulidurRasul disambut bagi memperingati tarikh kelahiran Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam.
Walaupun terdapat perbezaan pendapat di kalangan para ulama’ berkenaan tarikh sebenar kelahiran insan mulia Nabi Muhammad sallAllahu ‘alaihi wasallam, namun rata-rata masyarakat kita telah menerima bahawa 12 Rabi’ul awwal merupakan tarikh maulidnya Baginda.
Di dalam kitab ar-Rahiq al-Makhtum karangan Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri menyatakan bahawa tarikh kelahiran Nabi Muhammad sallAllahu ’alaihi wasallam adalah pada hari Isnin 9 Rabi’ulawwal tahun pertama peristiwa gajah. Ia juga bersamaan 20 atau 22 April 571 (M).
Sebahagian ulama’ ada yang mengatakan menyambut maulid ar-Rasul harus, ada juga yang mengatakan ia bid’ah. Namun, saya lebih cenderung untuk tidak meraikannya. Kerana Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam tidak pernah menyuruh kita menyambutnya, dan malah para sahabat Baginda radhiAllahu ‘anhum ajmain juga tidak meraikannya. Namun, jika masyarakat di sini meraikannya dengan mengadakan ceramah dan kuliah maulidurRasul, saya juga turut hadir untuk mendapat peluang refresh sejarah kehidupan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam. Mudah-mudahan kita mendapat manfaat daripada sambutan maulidurRasul yang disambut, insyaALLAH.
Apa yang lebih utama dari menyambut hari kelahiran Baginda s.a.w sebenarnya ialah untuk kita menerapkan rasa cinta dan ikut sunnah Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam.
Bahkan, syarak telah menetapkan bahawa mencintai Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam adalah sebahagian kewajipan seorang muslim.
Anas bin Malik r.a berkata bahawa Rasulullah s.a.w bersabda yang maksudnya:
“Tidak sempurna iman seseorang sehingga dia mencintaiku lebih daripada ibubapa, anaknya dan seluruh ummat manusia.” - Riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam telah dipilih ALLAH subhanahu wata’ala sebagai Pesuruh dan KekasihNYA. Kita sebagai muslim wajib mencintai insan yang paling dicintai dan diredhai ALLAH. Inilah peringkat cinta yang tertinggi di kalangan makhluq.
Betapa Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam telah berkorban dan menghadapi pelbagai dugaan dalam berjuang untuk menyampaikan nikmat ISLAM dan IMAN yang kita perolehi saat ini.
Baginda pernah dipukul, disakiti, dicela, dimaki dan dipulaukan oleh orang yang paling hampir dengannya. Namun, Baginda tetap tidak berganjak dari misi menyampaikan wahyu kepada kita semua.
Sanggupkah kita melalui perkara yang sama seperti Rasulullah?! Banyak benar telah Baginda s.a.w lakukan untuk kami. Oh, Rasulullah…kami cinta padamu!!
Ungkapan cinta tidak memadai untuk kita menunjukkan rasa cinta kepada Baginda. Malah cinta sahaja tidak mencukupi. Kita mesti menerapkan al-hub wal-ittiba’ iaitu cinta dan ikut. Sebagai seorang muslim sejati, mencintai Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam perlu disertai dengan ikut sunnah yang Baginda s.a.w tinggalkan.
Jika sekadar cinta tetapi tidak ikut, samalah kita macam Abu Talib yang mencintai Nabi s.a.w sehingga kematian beliau. Tetapi sayang sekali, seruan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam tidak mahu diterimanya. Sikap seperti ini ramai dimiliki oleh ahli masyarakat. Mereka mempunyai rasa cinta kepada Nabi s.a.w. Mereka marah dan berang apabila ada pihak mengutuk, mengejek, mengkeji, mengkartunkan dan memperlekehkan Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam. Sedihnya, dalam masa yang sama mereka tidak pula menurut perintah2 ALLAH melalui seruan Baginda s.a.w.
Jika sekadar ikut dan tidak cinta pula, samalah kita dengan para munafiqun yang berlegar-legar di sekeliling Nabi s.a.w. Mereka ikut Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam, malah melakukan beberapa sunnah, tetapi di dalam hati mereka tidak mencintai pun Nabi s.a.w, malah mempunyai niat buruk kepada Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam.
Bagaimana cara kita meluahkan rasa cinta kita kepada Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam?
1. Kenali Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam
Kisah-kisah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam yang kita pelajari sejak di bangku sekolah sepatutnya telah menjadikan kita mengenali peribadi Baginda s.a.w. Daripada kisah2 tersebut, banyak yang telah kita ketahui betapa pengorbanan dan perjuangan Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam untuk menyampaikan seruan ALLAH subhanahu wata’ala sangat berar kepada kita.
Dengan mengenali kisah Nabi s.a.w, pasti akan terbit rasa cinta. Orang kata, “Tak kenal, maka tak cinta”. Jadi, untuk menerbitkan rasa cinta, kita perlu menyelidiki sifat dan sejarah Baginda s.a.w. Kenalilah Nabi s.a.w. InsyaALLAH, melalui buku-buku, ceramah, kuliah dan lain2 sumber banyak boleh didapati. Dalam ceramah-ceramah maulidurRasul juga dapat kita ambil manfaat untuk refresh apa yang kita lupa dan mengambil ilmu dari para penceramah yang ‘alim, insyaALLAH.
2. Bersolawat
Ummat ISLAM disuruh untuk bersolawat kepada Baginda.
“Sesungguhnya Allah dan malaikat-malaikat-Nya bershalawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman, bersalawatlah kamu untuk Nabi dan ucapkanlah salam penghormatan kepadanya.” - al-Ahzab: 56.
Barangsiapa yang berselawat keatasku sekali, nescaya Allah akan berselawat keatasnya 10 kali ganda - (HR Muslim)
Sentiasalah bersolawat. Tatkala lapang atau sibuk, getarkanlah lidah kalian dengan bersolawat. Solawat iaitu do’a kesejahteraan kepada Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam adalah cara yang paling sesuai untuk kita menerapkan dan menyuburkan rasa cinta kepada Nabi s.a.w.
Solawat Ibrahimiyyah iaitu seperti solawat yang dibaca tatkala tasyahud dalam solat sangat disarankan membacanya kerana ia telah diajarkan oleh Rasulullah untuk kita amalkannya.
3. Menghidupkan sunnah.
Hendaklah kita cuba sedaya upaya untuk mengamalkan segala sunnah Baginda samada dari segi perkataan mahupun amalan.
Pada susuk tubuh dan akhlaq Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam terdapat banyak tauladan dan kebaikan yang boleh kita ambil. Firman ALLAH yang maksudnya:
“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (yaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.” Surah al-Ahzab: 21.
Baginda sallAllahu ‘alaihi wasallam bersabda:
“Sesungguhnya aku telah tinggalkan di antara kalian sesuatu yang jika kalian berpegang teguh dengannya, maka kalian tidak akan tersesat selamanya; iaitu kitabullah dan sunnah NabiNYA.” (Disahihkan oleh Al-Hakim)
“Barangsiapa yang membenci sunnahku, maka dia bukan termasuk golonganku” (HR Muttafaqun ‘alaih)
“Aku berwasiat kepadamu agar bertakwa kepada Allah ‘Azza wajalla, agar mendengar, taat dan patuh meskipun pemimpinmu seorang budak. Barangsiapa hidup panjang umur dari kamu maka dia akan melihat banyak silang-sengketa. Berpeganglah kepada sunnahku dan sunnah-sunnah khulafaur rasyidin yang mendapat petunjuk dan hidayah (sesudahku). Gigitlah kuat-kuat dengan gigi gerahammu. Waspadalah terhadap ciptaan persoalan-persoalan baru. Sesungguhnya tiap bid’ah mengandung kesesatan.” (HR. Tirmidzi)
Segala pesanan dan perintah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam wajib untuk kita ta’at dan amalkan. Perintah, pesanan dan nasihat Baginda s.a.w boleh kita ikuti melalui pembacaan buku2 hadith yang banyak di pasaran. Cara Baginda s.a.w bercakap, berjalan, makan, minum, bergurau, gelak, berpakaian, berniaga, berjiran, bermasyarakat, berumahtangga, bernegara dan sebagainya wajar diambil untuk diamalkan di dalam kehidupan kita.
Nescaya, hidup kita akan sejahtera, berkat dan lebih bermakna sekiranya sunnah-sunnah Rasulullah sallAllahu ‘alaihi wasallam diamalkan dalam kehidupan seharian.
Mudah2an MaulidurRasul yang baru-baru ini ramai di kalangan kita raikan dapat membuka minda dan mencetus keazaman untuk mencintai dan mengikuti sunnah Nabi sallAllahu ‘alaihi wasallam. Semoga kita semua tergolong dalam kalangan ummat Baginda s.a.w yang beruntung dan diberi syafaat di akhirat kelak, amin.
sumber : http://muzir.wordpress.com/2009/03/14/cinta-dan-ikut-rasulullah-sallallahu-alaihi-wasallam/
0 comments:
Post a Comment