Aliran Islam Liberal, Satu Penghinaan

Apakah Islam Liberal

Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka mendefinisikan perkataan Liberal sebagai “1. (bersifat) condong kepada kebebasan dan pemerintahan yang demokratik (misalnya menentang hak-hak keistimewaan kaum bangsawan), (fahaman) bebas. 2. bersifat atau berpandangan bebas, berpandangan terbuka (tidak terkongkong kepada sesuatu aliran pemikiran dan sebagainya)

Merujuk kepada definisi di atas, Islam sememangnya sebuah agama yang liberal. Ia membebaskan manusia daripada belenggu penyembahan sesama makhluk, bahkan juga membebaskan manusia daripada penindasan, kezaliman dan penghinaan sesama manusia. Islam juga memiliki dasar yang terbuka terhadap peradaban manusia selagi mana ia tidak melibatkan syirik yang menyekutukan Allah, perbuatan yang menyalahi syari’at-Nya dan kepercayaan kurafat yang merendahkan kedudukan manusia ke taraf binatang.

Jadi apakah yang dikehendaki dengan gelaran Aliran Islam Liberal? Jawapannya dapat kita lihat pada penambahan ’Liberal’ kepada Islam. Ertinya aliran ini mengkehendaki ciri keterbukaan dan kebebasan yang terlampau, yang lebih daripada sedia ada dalam syari’at Islam yang asli lagi tulen dan sesuai untuk sepanjang zaman.

Kenapa lahir aliran Islam Liberal?

Beberapa abad yang lepas, terdapa dua fenomena yang banyak mempengaruhi psikologi umat Islam. Pertama adalah fenomena ’penjajahan’ oleh negara-negara Barat ke atas hampir seluruh umat Islam. Kedua adalah ’ketinggalan’ dari sudut sains dan teknologi di belakang kebanyakan negara-negara Barat. Penulis ingin menegaskan di sini bahawa Islam yang tulen bukanlah faktor yang menghalang untuk mencapai kekuatan atau kemajuan. Oleh kerana sesetengah masyarakat meanggap bahawa agama adalah faktor penghalang maka meraka berpendapat caranya ialah membuka dan membebaskan agama daripada ajaran dan tafsirannya yang sebenar. Golongan inilah yang digelar Islam Liberal.

Inilah yang dikatakan Islam Liberal “ iaitu Islam yang terbuka dan bebas daripada belenggu tafsiran lama ke arah tafsiran yang baru lagi segar demi kejayaan umat sehingga meninggalkan dan mengenepikan ajaran Islam yang sebenar’’.

Mereka berpendapat bahawa agama Islam adalah agama yang benar. Namun pada waktu yang sama mereka juga berpendapat bahawa agama selain Islam adalah juga benar. Sesungguhnya pendapat mereka ini perlu dinafikan sekeras-kerasnya, kerana agama yang benar adalah Islam, agama di sisi Allah adalah Islam.

Mereka berpendapat bahawa sunnah-sunnah Rasulullah hanya releven untuk masyarakat arab di zaman baginda sahaja. Kenyataan sebegini hendaklah dinafikan dan disanggah seboleh-bolehnya kerana sunnah-sunnah Rasulullah sesuai untuk sepanjang zaman.
Bahaya Islam Liberal.

Jika sebelum ini kaum Yahudi dan Nasrani telah mengubah agama mereka, maka kini kita juga ada sebahagian umat beraliran Islam Liberal yang mengubah ajaran-ajaran Islam. Sekiranya kita mengkaji lebih mendalam tentang manhaj atau method aliran Islam Liberal, mudah untuk kita simpulkan bahawa mereka adalah sekelompok manusia yang menyembah akal dan mempertahankan peradaban Barat dalam beragama. Mereka mencari kejayaan bukan dengan mengikuti manhaj yang diredhai oleh Allah tetapi dengan manhaj mengikuti orang-orang bukan Islam. Dengan cara ini mereka berharap beroleh kemulian dan kekuatan padahal kekuatan dan kemulian adalah hak mutlak Allah Ta’ala. Ini sebenarnya salah satu ciri munafik. Firman Allah Ta’ala yang bermaksud: ”Kabarkanlah kepada orang-orang munafik bahawa mereka akan mendapat seksaan yang pedih,. (iaitu) orang-orang yang mengambil orang-orang kafir menjadi teman-teman penolong dengan meninggalkan orang-orang mukmin. apakah mereka mencari kekuatan di sisi orang kafir itu? Maka Sesungguhnya semua kekuatan kepunyaan Allah.” (al-Nisa’ 4:138-139)

Boleh kita katakan bahawa aliran Islam Liberal sebenarnya ingin mencipta agam
a tersendiri, lalu menumpang sekaki di atas agama Islam demi mencari kekuatan dan kedudukan. Yang mereka inginkan bukanlah agama Allah dan Rasul-Nya tetapi agama akal dan peradaban manusia. Terhadap golongan ini Allah berfirman yang bermaksud: “Barangsiapa mencari agama selain agama islam, Maka sekali-kali tidaklah akan diterima (agama itu)daripadanya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi.” (‘Ali Imran 3:85)

Firman Allah Ta’ala yang bermaksud:
“Dan tidaklah patut bagi laki-laki yang mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukmin, apabila Allah dan rasul-Nya Telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. dan barangsiapa mendurhakai Allah dan rasul-Nya Maka sungguhlah dia Telah sesat, sesat yang nyata.” (al-Ahzab 33:36)

Kejayaan tidak diukur dengan akal fikiran atau peradaban kaum lain tetapi dinilai dan diukur dengan nilai ketaatan kepada syari’at Allah dan Rasul-Nya. Demikian sikap orang-orang yang berjaya sebagaimana firman Allah Ta’ala yang bermaksud :
”Sesungguhnya perkataan yang diucapkan oleh orang-orang yang beriman ketika mereka diajak kepada kitab Allah dan Sunnah Rasul-Nya, supaya menjadi hakim memutuskan sesuatu di antara mereka, hanya mereka berkata: ‘Kami dengar dan kami taat’, mereka itulah orang-orang yang berolah kejayaan.” (al-Nur 24:51)

Pesanan penulis.

Janganlah kita mengikuti jalan yang terpesong lagi sesat ini, kita kembalilah ke jalan benar Islam dan taat pada Allah dan Sunnah Rasul-Nya. Wallahu’alam..

Rujukan:
1.Hafiz Firdaus Abdullah, Membongkar Aliran Islam Liberal, Jahabersa
2. Prof. Madya Mohammad Kamil bin Hj Abdul Majid, Prof Madya Dr Fauzi Deraman, Dr Mohd Asri Zainal Abidin dan Admin Armas, Islam Liberal Tafsiran Agama Yang Kian Terpesong, Karya Bestari

0 comments: